English

F.A.Q.

Complaints

Contact Us

Sitemap

OFFICIAL PORTAL OF DEPARTMENT OF IRRIGATION AND DRAINAGE FEDERAL TERRITORY OF KUALA LUMPUR

Berita Harian, 23 Mei 2011

Penutupan terowong SMART selamatkan beberapa kawasan dilandar banjir

KUALA LUMPUR: Langkah mengawal paras air di Jambatan Tun Perak melalui sistem kawalan banjir Terowong SMART dapat menyelamatkan kawasan-kawasan yang berisiko daripada dilanda banjir, Sabtu lalu.

Pengarah Pusat Kawalan SMART (SCC) Jabatan Pengairan dan Saliran Wilayah Persekutuan, Ir Low Koon Sing, berkata pada hari berkenaan, Sistem Pengesanan Banjir (FDS) di SCC mengesan hujan lebat di kebanyakan kawasan tadahan SMART mulai 5.10 petang hingga 7.15 malam.

"Hujan lebat di seluruh kawasan tadahan hulu Sungai Klang dengan purata antara 75 hingga 97 milimeter dalam tempoh dua jam mengakibatkan paras air di pertemuan Sungai Klang dan Ampang meningkat dengan mendadak sehingga melebihi 39 meter (hampir sama paras jalan raya sekitar 40 meter) dan luahan puncak mencapai 350 meter padu sesaat," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, kawasan tadahan di pusat bandar raya juga mengalami hujan lebat dengan stesen hujan hulu Sungai Bunus di Sekolah Menengah Pendidikan Khas Jalan Genting Klang mencatatkan bacaan 83 milimeter manakala stesen hujan Sungai Bunus di Jalan Tun Razak berhampiran Perpustakaan Negara Malaysia mencatatkan bacaan 46.5 milimeter.

"Sejumlah 2.5 juta meter padu air telah dilencongkan ke Kolam Takungan Berembang bagi mengawal aliran air Sungai Klang ke pusat bandar raya Kuala Lumpur.

"Luahan tertinggi dicatatan di Kolam Takungan Berembang iaitu 320 meter padu sesaat melimpah memasuki terowong banjir dan kedua-dua ke bawah dan dek atas terowong trafik," katanya

Low berkata, status Terowong SMART pada 6.08 petang berada pada operasi Mod 2 dan diikuti dengan status Mod 3 pada lima minit kemudian.
Beliau berkata, pihak Pusat Kawalan Trafik Motorway (MCC) menutup jalan dengan mengosongkan bahagian dua tingkat laluan trafik dalam terowong pada 7 malam diikuti dengan operasi Mod 4 pada 7.58 malam.

"Sebagai rujukan, paras tebing Sungai Klang di Jambatan Tun Perak ialah 30.24 meter. Jika paras ini dilebihi, beberapa kawasan tumpuan seperti Stesen LRT Masjid Jamek, Jalan Masjid India, Jalan Tun Perak, Lebuh Pasar, Kampung Baru, Jalan Tun Razak, Jalan P. Ramlee, Jalan Pinang, Kompleks Lama Mahkamah, Jalan Munshi Abdullah, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Kampung Melayu Ampang akan ditenggelami air sungai," katanya.

Low berkata, segala kesulitan yang dialami pengguna Terowong SMART yang terperangkap dalam kesesakan tersebut amat dikesali. - BERNAMA