𝐁𝐄𝐑𝐒𝐀𝐌𝐀 𝐌𝐀𝐋𝐀𝐘𝐒𝐈𝐀𝐊𝐔
Ir. Ts. Mohamad Hazlami, Pegawai Hidrologi Negeri (PHN) di Bahagian Hidrologi dan Sumber Air, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, memainkan peranan penting dalam menjalankan operasi pemantauan banjir sewaktu hujan lebat di ibu negara, Kuala Lumpur.
Sejak bertugas hampir dua tahun di JPS Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ir. Ts. Mohamad Hazlami dan pasukannya komited memastikan aset hidrologi dan operasi banjir milik jabatan, iaitu stesen cerapan hujan, aras sungai, kadar aliran sungai, siren amaran banjir, dan kamera pemantauan banjir yang ditempatkan di sungai-sungai utama sekitar Kuala Lumpur, sentiasa diselenggara dan dinaik taraf seiring dengan perkembangan teknologi semasa. Hal ini bagi memastikan fungsinya terus mampan dalam memberikan ramalan dan amaran awal banjir kepada warga ibu kota.
Beliau dan pasukannya sentiasa peka dengan keadaan cuaca yang tidak menentu, sama ada siang atau malam, terutama ketika hujan lebat, agar maklumat berkaitan data hidrologi seperti status aras sungai utama dapat disalurkan dengan cepat, terutamanya kepada agensi yang terlibat di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana peringkat W.P. Kuala Lumpur. Ini bertujuan memastikan kelancaran tindakan operasi banjir di lapangan, selain memberi amaran awal kepada penduduk agar risiko kerosakan dan kerugian harta benda dapat dikurangkan.
Walaupun ramai tidak menyedari pengorbanan beliau dan pasukannya, Ir. Ts. Mohamad Hazlami dan pasukannya cekal menjalankan tanggungjawab demi mengukuhkan lagi tindakan mitigasi dan adaptasi banjir, yang merupakan tanggungjawab utama JPS dalam memacu daya tahan terhadap bencana banjir yang kian kompleks dan berimpak tinggi.